BAHAGIAN KUALITI DAN AKREDITASI KOMITED BANTU PENSYARAH

Taxonomy-9293

NIBONG TEBAL, 23 April 2015 – Bahagian Kualiti dan Akreditasi, Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan seminar separuh hari bertajuk “Preparing Exam Question - Mapping to Bloom’s Taxonomy” disini semalam.

Menurut Penyelaras Bahagian Kualiti dan Akreditasi, Kampus Kejuruteraan Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Sanusi S. Ahamad, seminar diadakan selaras dengan aktiviti dimana semua pusat pengajian sedang giat menjalankan proses persiapan dan penapisan soalan-soalan peperiksaan semester II 2014/2015.

Taxonomy-9291

“Ini merupakan inisiatif pihak kami dalam membantu dan meningkatkan pengetahuan para pensyarah terutama kepada pensyarah muda dalam menyediakan soalan peperiksaan yang baik kepada para pelajar” kata Sanusi.

“Usaha ini diharap dapat memberikan pendedahan kepada mereka dalam memastikan tahap soalan yang disediakan memenuhi kriteria dan standard universiti setaraf dengan USM sebagai universiti APEX”, katanya.

Katanya, tujuan utama seminar ini ialah untuk melihat tatacara operasi pengurusan kualiti sistem peperiksaan di pusat pengajian masing-masing.

Taxonomy-9240Katanya lagi, hasil daripada seminar juga diharap dapat membantu Bahagian Kualiti dan Akreditasi merangka sistem operasi pengurusan peperiksaan yang standard untuk semua pusat pengajian di Kampus Kejuruteraan.

Hadir memberi ceramah dan membentangkan kertas kerja masing-masing iaitu Profesor Madya Dr. Taksiah A. Majid dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Dr. Mohamad Zailani Abu Bakar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

Ketiga-tiga penceramah ini merupakan Timbalan Dekan Akademik, Pusat Pengajian masing-masing dan mempunyai pengalaman yang luas dalam lapangan pengajian dan pembelajaran di universiti.

Taxonomy-9234

Seramai 60 orang peserta hadir ke seminar tersebut yang berlangsung di Dewan Seminar, Bangunan Pentadbiran, Kampus Kejuruteraan. Mereka terdiri dalam kalangan pensyarah dan penolong pendaftar yang terlibat dengan tugas-tugas penyediaan kertas soalan.

Satu dokumentasi yang komprehensif akan dibentuk sebagai persiapan untuk proses penilaian akreditasi oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) pada masa hadapan.